KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin politik harus membawa perbincangan kembali memberi tumpuan terhadap dasar-dasar yang menyelesaikan masalah rakyat dan membina negara.

Pengamal undang-undang Perlembagaan, Abdullah Abdul Rahman merasakan dialog ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tempoh hari terlalu memberat kepada hal-hal emotif dan ia perlu segera dihentikan.

Katanya, jika dilihat manifesto antara semua parti pun, sebahagian besarnya tidak banyak berbeza, maka pendamai harus dicari supaya matlamat sama yang disasarkan dapat dijayakan bersama.

“Bagi saya, mereka mesti memberikan kepimpinan. Itu yang penting.

“Kalau kita tengok kepada manifesto, semuanya baik. Kalau ada yang tak sama pun, tiada yang sampai bercanggah.

“Kerana itu, pandangan saya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya dari segi polisi mereka boleh berdamai dan bertoleransi,” katanya merujuk kepada dua pemimpin yang mengetuai gabungan parti-parti politik di bawah Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

Bercakap dalam program Agenda AWANI pada Selasa, Abdullah menjelaskan, kedua-dua sosok itu juga harus menampilkan kepimpinan yang dapat menerangkan kembali hal-hal yang bersifat emotif, supaya ia ditinggalkan dan membawa penyokong ke arah diskusi yang lebih konstruktif.

Agenda AWANI: Kalau tiada sepakat, Malaysia akan rugi