Pastikan kanak-kanak divaksin, elak komplikasi MIS-C

Bernama
Mac 22, 2022 15:24 MYT
Seramai 1,267,491 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di bawah PICKids setakat semalam. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Ibu bapa diminta agar memastikan anak-anak mereka divaksin bagi mengelakkan komplikasi serius akibat COVID-19 seperti Sindrom Keradangan Multisistem Dalam Kanak-Kanak (MIS-C).
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) Datuk Dr Anas Alam Faizli dalam kenyataan hari ini berkata kes COVID-19 melibatkan kanak-kanak telah meningkat dengan mendadak termasuk kondisi yang serius dan kematian.
"Kami bimbang tentang MIS-C dalam kalangan kanak-kanak. Justeru, kami merayu kepada ibu bapa supaya memastikan anak-anak anda dilindungi daripada virus COVID-19. Tolong lindungi anak-anak kita, keluarga kita dan dengan melakukan ini kita akan melindungi semua orang," katanya.
Dr Anas turut menggesa supaya lebih ramai pakar kanak-kanak menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) untuk membantu dan bekerjasama dengan ProtectHealth dalam melaksanakan program tersebut secara maksimum.
"Terkini, lebih 900 pengamal perubatan am (GP) dan empat klinik pakar kanak-kanak terlibat dalam program PICKids," katanya.
Seramai 1,267,491 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun, atau 35.7 peratus daripada populasi kumpulan itu dalam negara ini, telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di bawah PICKids setakat semalam.
-- BERNAMA
#vaksinasi kanak-kanak #MIS-C #keradangan #COVID-19