KUALA LUMPUR: Sambutan perayaan Deepavali tahun ini bakal berbeza  dari tahun-tahun sebelumnya memandangkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang telah diberikan.

Jika tahun lalu, perayaan Deepavali disambut dalam keadaan negara masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tahun ini sambutan bagi penganut agama Hindu itu dijangka lebih meriah.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan serta mengekalkan batas SOP bagi menjamin sambutan perayaan itu tahun ini berjalan lancar.

"Sekarang kita telah kembali kepada keadaan biasa. Kepada semua pengunjung, tolong jaga kesihatan dan SOP kerana kita tidak mahu ada jangkitan atau dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa." katanya selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan ke 'Little India' di Brickfields petang tadi.

Tambah beliau, walupun keadaan sudah berbeza dari tahun sebelumnya namun ia tidak bermakna orang ramai boleh mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan.

Meskipun begitu, beliau berharap agar perayaan Deepavali kali ini akan berlangsung meriah tanpa sebarang masalah terutamanya membabitkan jangkitan COVID-19.

"Kepada seluruh warga penganut agama Hindu, saya ucapkan selamat menyambut hari Deepavali," kata Perdana Menteri.