KUALA LUMPUR: Pasukan Bencana Istana Negara hari ini meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir dengan melakukan kerja-kerja pembersihan rumah dan kawasan persekitaran di Taman Wijaya, Karak, Pahang.

Istana Negara menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya memaklumkan misi itu disertai 35 sukarelawan terdiri daripada pegawai dan kakitangannya serta diketuai Juruiring Tentera Laut kepada Yang di-Pertuan Agong Laksamana Pertama Datuk Sharum Shaim.

Turut hadir Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara yang juga Juruiring Tentera Udara kepada Yang di-Pertuan Agong Brigedier Jeneral Datuk Zahari Yahya dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Menurut kenyataan itu, misi tersebut buat julung kalinya melibatkan penyertaan 15 sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers) dan kerjasama itu adalah atas perkenan dan cetusan idea Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pasukan Bencana Istana Negara turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dari Kuala Lumpur, TMROVers dan sukarelawan Sime Darby bagi membersihkan kawasan perumahan, memasak serta mengedarkan makanan tengah hari kepada penduduk yang terjejas.

"Seri Paduka Baginda telah menzahirkan hasrat agar Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA