KOTA KINABALU: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas terpaksa bersalin di dalam kereta sebelum diselamatkan sepasukan anggota bomba dalam kejadian di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, pada Rabu.

Secara kebetulan, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berada di lokasi kejadian yang kemudiannya menghubungi unit ERMS selain cuba membantu wanita berkenaan untuk melahirkan bayi mangsa.

Menurut jurucakap JBPM Sabah, kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.45 petang itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Difahamkan, mangsa, 39 tahun, bersama suaminya yang menaiki Perodua Viva dalam perjalanan menuju ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKL), Kota Kinabalu, selepas mengadu sakit perut dan dipercayai mahu melahirkan.

"Dengan bantuan pegawai dan anggota yang bergegas ke lokasi itu, mangsa selamat melahirkan bayi perempuannya di dalam kenderaan tersebut.

"Mereka kemudiannya dibawa ke hospital bagi tujuan pemeriksaan kesihatan," katanya.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden terbabit.