KUALA LUMPUR: Trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat tiba di kawasan LRT Bangsar selepas jumlah peserta Himpunan #TangkapAzamBaki semakin ramai sejak jam 11 pagi tadi.

Perhimpunan walau bagaimanapun masih berjalan tanpa sebarang insiden tidak diingini di bawah pemantauan anggota polis yang bertugas.

Setakat ini, tiada provokasi berlaku dan para peserta dilihat berarak sambil menyanyi, memalu gendang dan bersorak.

Antara yang berulang kali dilaungkan ialah "Tangkap Azam Baki", "Rombak SPRM" dan "Hidup Rakyat".

Peserta perhimpunan turut bertepuk tangan, berterima kasih kepada anggota polis yang memberikan laluan buat mereka.

Antara pemimpin politik yang dilihat hadir ialah Ketua Dapsy, Howard Lee Chuan How; Bendahari Muda, Tarmizi Anuwar; dan aktivis politik, Adam Adli Abdul Halim serta Mandeep Singh.

Beberapa peguam juga dilihat berada di kawasan ini untuk membantu peserta himpunan yang memerlukan khidmat mereka.

Difahamkan, peserta akan berarak ke Brickfields dan dipercayai beberapa pemimpin akan memberikan ucapan di sana.