KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia mengerang kesakitan hampir satu jam kerana kaki kanannya patah selepas terjun ke lereng bukit semasa operasi penguatkuasaan di kawasan penempatan di Segambut Dalam, di sini pada Sabtu.

Lebih memeritkan, usaha mengangkat lelaki berusia lingkungan 50-an itu berdepan kesukaran berikutan laluan yang licin dan gelap.

Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagaimanapun berjaya membawa naik lelaki terbabit pada ketinggian kira-kira tiga meter menggunakan pengusung.

Operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula jam 2.05 pagi itu turut mengesan beberapa cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengelak daripada dicekup.

Ada antara PATI yang menyorok di atas bumbung rumah selain cuba bersembunyi di belakang pintu.

Cubaan beberapa PATI bersembunyi di kawasan belukar turut terbongkar selepas pemeriksaan teliti dilakukan pihak imigresen.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, operasi hasil aduan awam ini berjaya memeriksa seramai 97 individu.

"Hasil pemeriksaan telah menahan 78 warga asing terdiri daripada 47 lelaki, 25 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

"Semakan mendapati mereka ini terdiri daripada 73 warga Indonesia serta lima Bangladesh," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan pada Sabtu.

Syamsul Badrin berkata, pihaknya mengesan pelbagai taktik untuk melarikan diri daripada ditahan imigresen termasuklah berpura-pura pengsan.

Katanya, kawasan penempatan ini sangat mencabar kerana kedudukan berbukit, berhutan selain keadaan rumah yang mempunyai banyak laluan dan tempat bersembunyi.

"Kita percaya terdapat kira-kira 100 buah rumah di sini yang disewa dengan kadar bayaran RM300 hingga RM500.

"Lokasi yang aktif sejak 10 tahun ini pernah diserbu pada tahun 2019 dan seramai 140 orang telah ditahan.

"Ada warga asing yang berada di sini sudah lebih lima tahun dan pernah diperiksa ketika itu," ujarnya.

Tambahnya, kawasan yang disyaki milik tanah persendirian ini turut didiami oleh warga tempatan selain permastautin tetap.

"Kebanyakan warga asing ini bekerja di sektor pembersihan dan pembinaan," katanya.

Tegasnya, kesemua tangkapan ini dibawa ke Depoh Bukit Jalil untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa. - Sinar Harian