BAGAN SERAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di perkampungan nelayan Kuala Gula di Parit Buntar, pada Jumaat malam.

Turut dirampas lima laras senapang angin bersama peluru bebola besi yang dipercayai digunakan untuk menembak ikan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua PATI itu terdiri daripada 37 warga Myanmar dan 23 Indonesia, dianggarkan berumur antara 10 hingga 50 tahun.

“Berdasarkan semakan awal, mereka memberitahu bahawa kebanyakannya masuk secara haram ke perkampungan ini, ke Malaysia, ke perairan kita melalui pertukaran bot.

“Bot daripada negara mereka datang dan menceroboh masuk ke perairan negara kita dan kemudian bot nelayan daripada sini akan pergi ke tengah laut dan mereka akan tukar untuk masuk ke dalam bot-bot nelayan tempatan,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas operasi itu awal pagi Sabtu.

Menurutnya, operasi yang disertai 90 pegawai dari Putrajaya dan Perak itu dilakukan ekoran aduan
orang awam dan nelayan tempatan mengenai kehadiran PATI yang menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan pesisir pantai.

Katanya, kegiatan mereka telah menjelaskan periuk nasi nelayan-nelayan tempatan, selain turut bekerja di kilang memproses belacan, secara tidak sah.

Ujarnya, ada di antara mereka telah menjadi untuk jangka masa yang lama, antara lima hingga 10 tahun.

Dalam serbuan jam 11.30 malam yang dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, dua bot dengan 20 PATI melarikan diri ke kelong berhampiran di samping ada yang terjun ke laut.

Semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Langkap untuk siasatan lanjut dan akan diusir selepas dijatuhi hukuman.

Di samping itu, kata Khairul Dzaimee, pemilik bot dan kilang belancan akan dipanggil untuk disiasat dan jika cukup bukti, mereka akan didakwa kerana menggaji PATI atau membenarkan PATI berada di dalam premis mereka.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 masuk ke Malaysis tanpa sebarang dokumen dan majikan pula disiasat di bawah Seksyen 56(1) akta sama.