KUALA LUMPUR: Beberapa perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini membangkitkan keperluan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipertahankan serta tidak melakukan perkara yang boleh melemahkan parti.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah menggesa supaya tiada mana-mana pihak memperlekehkan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden parti.

"Saya berharap PM (Perdana Menteri), kami tidak mahu anda dibuli oleh orang lain, kita merangkak beramai-ramai walaupun dalam krisis, (sehingga) akhirnya kesemua Ahli Parlimen UMNO menyokong Ismail Sabri menjadi PM," katanya semasa perbahasan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di sini hari ini.

Suara agar kepimpinan dan ahli UMNO tidak melakukan perkara yang boleh melemahkan kekuatan parti dibawa oleh Perwakilan Melaka Datuk Mustafa Musa.

"Jangan ada dusta antara kita, jangan ada kata bersalut dengki, jangan mengupah untuk membunuh karakter kawan, jangan juga ada batu api, pengadu domba dan pencium tangan dan pipi untuk kem-kem tertentu.

"Tamat dan hentikanlah kerana perkara yang tak bermaruah ini akan lemahkan UMNO. Beri kepercayaan kepada 'top five' (kepimpinan) dan di dalamnya ada Perdana Menteri. Bincanglah dengan penuh kasih sayang sebab kasih sayang itu terlalu indah dikenang...elak pentingkan diri sendiri...cubit paha kanan paha kiri terasa," katanya.

Dalam pada itu, wakil dari Perlis Wan Saiful Daniel Mohd Yusof pula memohon semua perwakilan menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan segala keputusan dan strategi termasuk berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Segala isu yang berkaitan dengan UMNO biarlah pucuk pimpinan yang ambil keputusan, kerana merekalah yang akan menyusun segala strategi isu-isu yang mendatang," katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2021

Pewakilan dari Kedah Senator Datuk Othman Aziz berkata rakyat mula meyakini kerajaan, apabila tampuk pentadbiran negara diterajui barisan kepimpinan daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Mereka (rakyat) lebih faham dan yakin sejak kita (UMNO) jadi perdana menteri dan barisan Kabinet kerana (apabila) UMNO dan BN yang berpengalaman dalam urus tadbir negara, masalah negara lebih tersusun walaupun kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan banjir besar," katanya.

Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap merasmikan perhimpunan itu yang antaranya menekankan bahawa kerajaan dan parti perlu bergerak seiring demi membangunkan negara serta memberi kepercayaan kepada Ismail Sabri memimpin kerajaan.

-- BERNAMA