KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat wajar ditangguh sehingga keadaan kesihatan awam benar-benar stabil, tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, adalah wajar mengambil pendekatan tunggu serta menangguh perkara-perkara yang akan merumitkan proses pemulihan ke arah endemik.

"Sebagai Menteri Kesihatan, wajar kita tunggu dahulu sehingga keadaan kesihatan awam stabil.

“Saya lihat semangat Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), walaupun beliau berkata akar umbi parti mahukan PRU lebih awal, tetapi dia serahkan hal itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Khairy yakin Perdana Menteri akan mengambil pandangan bukan sahaja soal pemulihan negara dan memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui oleh kerajaan dan pembangkang untuk reformasi institusi, tetapi juga pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kesihatan awam.

Menurutnya, ketika negara sedang menuju ke fasa peralihan pandemik maka penangguhan sementara perkara-perkara yang merumit termasuk PRU15 adalah wajar.

"Lebih baik kita tangguh dahulu perkara yang boleh merumitkan pemulihan ini, dan PRU15 adalah hal yang boleh ditangguh sehingga keadaan kesihatan awam lebih stabil," jelasnya.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, tahap kestabilan kesihatan awam selepas pembukaan sempadan negara hanya dapat diukur menerusi kadar kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Kita akan mula buka sempadan pada 1 April ini dan kita nak tengok kesan kepada pembukaan itu dan kita jangka pembukaan yang akan dibuat dengan selamat dan tidak ada tekanan kepada sistem kesihatan awam.

"Tetapi apa yang kita tak tahu adalah dari segi varian baharu Omicron, ini kita masih pantau sebab kita tahu Omicron ini ada sub unit dan pakar di KKM sedang memantau. Kalau kita lihat negara Eropah, kadar jangkitan turun dan naik," katanya lagi.

BACA: Tahap kestabilan kesihatan awam diukur dengan jumlah kemasukan ke ICU

BACA: PAU2021: Tiada tekanan bubar Parlimen, Khairy anggap itu lambang manifestasi adab politik tinggi

Perhimpunan Agung UMNO 2021

Ahli Parlimen Rembau itu turut memberitahu, KKM juga akan memantau dari segi kelonggaran solat tarawih.

"Saya nak tengok selepas 1 April ini... lebih kelonggaran solat tarawih dan sebagainya, melonjak naik atau tidak, kes tak apa, cuma kemasukan hospital dan ICU itu saya nak lihat dalam beberapa bulan lagi, keadaan itu stabil atau tidak," ujarnya.