PERHIMPUNAN Agung UMNO 2009 (PAU 2009) pada asalnya dirancang pada Mac 2008 dijadual semula pada 16 Disember 2008 iaitu selepas semua parti komponen mengadakan mesyuarat agung.

Bagaimanapun Majlis Tertinggi UMNO memutuskan Perhimpunan Agung UMNO itu ditunda tarikhnya pada 24 sehingga 28 Mac 2009.

Ia diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO kecundang di banyak kawasan sekali gus pertama kali gagal mempertahankan majoriti dua pertiga mereka selama ini.

Pada masa itu, ahli UMNO diminta tidak putus semangat selepas corak kepemimpinan baharu parti yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapat tampuk kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mencelah waktu pada saat itu sedikit ketegangan turut timbul akibat adegan mencium keris Panca Warisan oleh Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Bagaimanapun isu itu dapat diselesaikan secara aman.

Ia rentetan peralihan kuasa yang baik dan menjadi permulaan era pemerintahan Datuk Seri Najib.

Pada PRU-13 pula, di mana persediaan dibuat lebih awal dari 2012, perkataan 'transformasi' mula ditekankan dalam ucapan semua pihak.

Ia nafas baharu sekali gus penjenamaan semula dalam mencari sokongan terutama pengundi muda.

UMNO juga pada saat itu mula mengambil iktibar kepentingan media sosial dan pengaruh anak-anak muda dalam mencorak politik negara.

PRU-13 yang dinamakan 'ibu segala pilihanraya' itu juga boleh dikatakan penggunaan kali pertama media sosial secara besar-besaran dalam kempen mengundi.

Menghampiri PRU-14 ini, kita lihat bahawa penerimaan media sosial lebih diberi perhatian berbanding 'perkakas' lain untuk mempengaruhi pengundi.

Telefon pintar juga sudah mengambil tempat yang lebih 'dipuja' perwakilan berbanding aksi cium keris oleh pemimpin UMNO.

Kini paling penting UMNO perlu betul-betul berusaha untuk memastikan parti itu tidak kecundang mendapat majoriti dua pertiga buat kali ke tiga.

Kalau pembangkang melaung slogan 'Ini kalilah' untuk menawan Putrajaya, mungkin UMNO juga boleh menggunakan slogan "Ini kalilah' tetapi untuk memastikan kemenangan dua pertiga kembali ke pangkuan parti.

Di dalam ucapan Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Najib memberitahu parti perlu mendapat kemenangan besar pada PRU kali ini.

Ini secara tersiratnya termasuk kemenangan di Selangor iaitu negeri idola bagi UMNO sendiri.

Jadi tentu untuk merealisasikan impian ini, kekuatan Melayu dalam semangat mencium keris seharusnya dilihat kembali dalam konteks 'mencium' telefon pintar.

Kini, pertarungan PRU-14 menjadi lebih menarik apabila 3.56 juta ahli UMNO sendiri akan menjadi panglima siber

Untuk pertama kali, stategi ini akan menyatukan kembali ahli parti Melayu keramat ini selepas foto Dr Mahathir Mohamad di tengah-tengah bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 menyatukan Melayu pada waktu itu.

Kali ini, semua cabaran harus difahami komponen dan UMNO khususnya.

Jadikan persidangan kali ini medan mendekatkan hati jemaah parti dalam suntikan Seni Pertautan (The art of connection)

Selepas habis perhimpunan, ahli UMNO perlu memperkemaskan jentera dan menyulan seni pertautan dalam perjuangan menuju PRU.

Gunakan media sosial sebagai keutamaan dalam seni ini.

Jangan jadi seperti PRU-13, UMNO dan BN sebenarnya harus mengakui kalah (polulariti) dalam menang.

Biarlah PRU kali ini ada pemeriksaan teliti agar tidak ada ruang lain untuk UMNO terlepas pandang dan membawa kepada kegagalan majoriti dua pertiga.

Jadikan pengalaman 2008 dan 2012 sebagai pedoman yang menceritakan survival parti dalam keadaan mencabar.

Dalam pada itu, seni survival juga satu 'semboyan' yang perlu dihebahkan.

Ia seni yang mengenal pasti siapa musuh selama ini yang menjadi dalang perpecahan parti selain punca wujudnya parti serpihan yang kini menentang UMNO.

Sebab itu juga apabila Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua sayap parti untuk sedia menyerang dan terus menyerang ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri, ia signal jelas peperangan itu sudah benar-benar hampir.

Walaupun ia parti terkuat di kalangan parti lain selama 71 tahun, UMNO perlu akui ia semakin terdesak untuk mendapatkan majoriti dua pertiga pada PRU kali ini.



* Wan Syamsul Amly merupakan wartawan penyiaran kanan di Astro AWANI dan lulusan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) UiTM.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.