PAU2021: Pengeluaran khas KWSP RM10,000 bukti UMNO peduli suara rakyat - Khairy

Eton Khir
Mac 18, 2022 09:17 MYT
Keputusan membenarkan pengeluaran khas KWSP bukan sesuatu yang mudah kerana kerajaan perlu memikirkan impak kepada pasca persaraan, kata Khairy Jamaluddin. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Keputusan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000 membuktikan kerajaan mendengar rintihan rakyat ketika mendepani situasi gentir, kata Khairy Jamaluddin.
Menurut Menteri Kesihatan itu, keputusan membenarkan pengeluaran kha situ bukan sesuayi yang mudah untuk dilakukan kerana kerajaan perlu memikirkan impak kepada pasca persaraan.
"Keputusan KWSP bukanlah keputusan yang mudah diambil oleh kerajaan sebab walaupun ada desakan politik daripada UMNO dan pada peringkat yang terakhir sekali adalah pembangkang tapi ini sebenarnya adalah perjuangan daripada UMNO.
"Jadi, saya percaya dengan keputusan Perdana Menteri tersebut telah membuktikan bahawa beliau sentiasa mendengar rintihan rakyat dan juga beliau sentiasa mendengar pandangan daripada parti,” kata Ahli Parlimen Rembau itu dalam sidang media selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Jumaat.
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021
Menyentuh mengenai cadangan-cadangan yang dibangkitkan oleh perwakilan serta pucuk pimpinan UMNO dalam PAU yang bermula Rabu lalu pula, Khairy berkata, ada beberapa perkara seperti penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu-isu tertentu sudah dibawa oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kabinet dan ada yang sudah dipersetujui.
Dalam masa sama, Khairy memaklumkan, kerajaan juga ada memutuskan mengenai pemberian gaji minimum dan perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan tidak lama lagi.
#Khairy Jamaluddin #KWSP #UMNO #PAU 2021