KUALA LUMPUR: Tiada sebarang usul mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibincangkan dalam mesyuarat khas Majlis  Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis malam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO itu berkata, ia sekadar laporan daripada wakil MKT ke mesyuarat sayap.

"Seperti tahun-tahun dulu ini, laporan daripada wakil MKT ke mesyuarat sayap. Itu sahaja. Tiada perbincangan (mengenai PRU15)," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat MKT di sini, pada Khamis malam.

PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021

Terdahulu, Ismail Sabri memberitahu, sebarang perkara berkaitan PRU15  akan dibincangkan secara bersama di dalam parti.

Beliau turut memaklumkan UMNO setakat ini tidak mengadakan perbincangan dan beliau tidak menerima sebarang usul termasuk daripada sayap-sayap yang bersidang pada Khamis.