KUALA LUMPUR: Meskipun tidak menerajui kerajaan secara mutlak, namun itu tidak menjadi penghalang UMNO memilih untuk terus berjiwa besar dan mendukung kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dalam membangunkan semula negara.

Malah, ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO menurut kebanyakan perwakilan dan pemerhati, membuktikan penyatuan anggota parti kekal utuh dan bergerak sederap walaupun sering digambarkan sebaliknya.

Penganalisis politik pula percaya kata-kata keramat Ahmad Zahid, "kami akan perkuatkan parti manakala Ismail Sabri perkuatkan kerajaan", mengambarkan suasana harmoni antara kedua-dua pemimpin, malah ia diperkukuhkan lagi dengan kenyataan bahawa kerajaan dan parti harus berjalan seiring.

Mengulas perkara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata peranan UMNO adalah penting meskipun tidak menjadi parti yang dominan dalam kerajaan.

"Ini bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat berfungsi dengan baik. Peranan UMNO sangat penting dalam menjamin kestabilan politik dan kerajaan sekarang.

"Memandangkan kerajaan masa kini adalah kerajaan yang dianggotai UMNO, Bersatu, Pas dan parti-parti dari Sarawak, UMNO perlu memahami dan sentiasa mendahulukan kepentingan awam melangkaui kepentingan parti sendiri khasnya ketika negara menuju fasa peralihan ke endemik ketika ini," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Kenyataan Ahmad Zahid itu yang turut disambut dengan wajah kegembiraan dan tepukan para perwakilan, sekali gus memberi keyakinan kepada mereka.

Ahli Wanita UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Kedah, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor berkata kerjasama atau kesefahaman yang terjalin antara UMNO dan kerajaan memerlukan kesepaduan jitu di dalam parti, sekali gus mampu kekal relevan di mata rakyat.

"Jenama UMNO itu akan dijulang jika berjaya mewujudkan persefahaman di dalam parti seterusnya bergerak bersama-sama ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa bercakaran sesama sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Mohd Shafei Abdullah berkata parti mahupun kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing kerana ia akan memberi kesan kepada rakyat termasuk di akar umbi.

-- BERNAMA