KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak kembali bergema di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) hari ini selepas parti itu  menuntut agar bekas perdana menteri itu diberikan keadilan sewajarnya.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, sejak awal lagi, UMNO percaya Najib berdepan pendakwaan politik dan terpilih.

Jelas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, jasa bekas Ahli Parlimen Pekan itu, yang menjadi antara penyumbang utama kepada kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak dilupakan oleh parti.

"Sumbangan beliau mengembalikan sokongan rakyat UMNO dan BN.

"Apabila fenomena 'Bossku' melanda negara, kelompok kecil dalam kalangan kita mendendangkan suara mempertikaikan 'Bossku', diulang-ulang isu mahkamah beliau, walaupun kita tahu ia adalah pendakwaan politik dan terpilih.

"Kini, beliau seorang diri di sana (Penjara Kajang).

"Kita menuntut supaya beliau diberikan keadilan di mahkamah, kita menuntut supaya pengadilan seadil-adilnya diberikan kepada Najib," katanya ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Berucap lanjut, Ahmad Zahid berkata, selepas kekalahan pada PRU14, UMNO mula merangka beberapa strategi politik termasuk membaca dan menilai beberapa pendekatan parti-parti seangkatan dengan UMNO, yang pernah jatuh.

Jelas beliau, sebelum peletakan jawatan Najib sebagai perdana menteri ketujuh, pasukan UMNO berada dalam keadaan yang amat jitu.

"Mereka yang terpilih selepas pemilihan parti pada tahun 2018 menjadi barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra parti. 

"Ada yang terus menyepi dan tidak kurang juga melompat lari. Namun pada ketika itu, suara kita satu sahaja. Mewakili UMNO dan BN.

"Beberapa langkah yang kita ambil, merubah landskap dan sudut pandang rakyat terhadap politik. Sedikit demi sedikit, UMNO kembali diyakini. Apatah lagi tanpa perlu kita apologetik, faktor Bossku," katanya.