Tuduhan rogol: Paul Yong buat keputusan untuk bercuti

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 25, 2019 05:38 MYT
PAUL: "Saya merasakan perlu untuk mendahulukan kepentingan negeri, seperti yang saya selalu lakukan." - Gambar fail
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Paul Yong Choo Kiong akhirnya bersetuju untuk bercuti daripada menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai Exco.
Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan bagi membersihkan namanya dan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.
“Saya juga merasakan bahawa perlu untuk mendahulukan kepentingan negeri, seperti yang saya selalu lakukan dalam kerjaya sebagai ahli politik.
“Saya akan memaklumkan keputusan ini kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) hari ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan tengahari ini.
Pada Jumaat, Paul Yong yang menghadapi dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia bulan lalu menegaskan tidak akan bercuti walaupun dinasihatkan oleh Ahmad Faizal.
Menurutnya, tidak ada sebab untuknya bercuti kerana beliau bukan penjenayah.
BACA: 'Saya tidak akan bercuti, saya bukan penjenayah' - Exco Perak
Dalam kenyataan terbaru hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan terhadapnya yang disifatkan tidak berasas.
“Saya tetap berpandangan bahawa ini adalah sekadar konspirasi politik terhadap saya dan ia memberi kesan yang mendalam kepada saya, keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.
Paul Yong berkata, beliau telah mengarahkan peguam-peguamnya untuk mendapatkan tarikh perbicaraan dalam masa terdekat untuk membersihkan namanya secepat mungkin.
Dalam masa yang sama, katanya, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai ADUN Tronoh seperti biasa.
#ADUN #ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri #Ahmad Faizal Azumu #Exco #Indonesia #keluarga #kerajaan #menteri #Menteri Besar #Paul Yong Choo Kiong