Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengambil tindakan undang-undang selepas siasatan mereka mengenai status Paya Indah Wetlands selesai.

Penyelarasnya, Badrul Hisham Shaharin berkata, ia melibatkan Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri.

Menurut Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai Chegubard, tuntutan mengenai status tanah itu yang perlu dikembalikan kepada kawasan hijau tidak pernah berubah selain mereka yang menipu bagi pihak kerajaan negeri perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

BACA: Kerajaan Negeri Selangor bersikap terbuka berdepan tohmahan

BACA: Tiada pengezonan gunaan tanah milik Paya Indah Wetlands

BACA: Azmin perlu jelaskan isu status tanah di Paya Indah

"Pasukan kami dari Mac lepas terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada ahli akademik, peguam, ahli Parti Keadilan, ada parti komponen Pakatan Harapan bersama kita.

"Kita sedang meneliti fakta ini kes demi kes, dokumen demi dokumen dan akan buat pengumuman nanti apabila bertemu kronologi dan dapat bertemu apabila dapat menyimpulkan semua.

"Janji kita pasti apabila semua siap kita akan pergi ke proses perundangan dan pihak berwajib," katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Badrul Hisham mendakwa Kerajaan Negeri memulakan usaha pelengkungan semula Paya Indah Wetlands di lot 68054 Mukim Tanjong Dua Belas Kuala Langat.

Badrul Hisham turut mendakwa tindakan itu bakal mengganggu ekosistem keseluruhan Paya Indah Wetlands yang dikelaskan sebagai kawasan tanah lembab di bawah Konvensyen Ramsar.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping menafikan dakwaan Chegubard itu.

Katanya, tidak berlaku sebarang pengezonan gunaan tanah di lot 4827 dan 3974 milik Paya Indah Wetlands buat masa kini.

Jelasnya, tanah berkeluasan 450.76 hektar itu diwartakan Jabatan Perhilitan sebagai Rizab Tanah Paya di bawah Kanun Tanah Negara sejak 1998.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini dilaporkan tidak akan menutup sebarang tuduhan sebaliknya sentiasa bersikap terbuka dan bertanggungjawab berhubung isu status tanah Paya Indah Wetlands.