SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengutuk sekeras-sekerasnya kekerasan tentera Myanmar terhadap penunjuk perasaan anti-kudeta.

Serentak itu, beliau turut mendesak masyarakat antarabangsa untuk menyatakan pendirian tegas ia mesti dihentikan.

Sekurang-kurangnya 18 orang maut di seluruh Myanmar pada Ahad semasa pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan anti rampasan kuasa.

Menurut jurucakap Gutteres, Stephane Dujarric, Setiausaha Agung mengecam keras tindakan kekerasan di Myanmar.

Malah beliau bimbang dengan peningkatan kematian dan kecederaan serta penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Selain itu, Setiausaha Agung PBB juga bimbang dengan tindakan tentera yang menahan dengan sewenang-wenangnya penunjuk perasaan.

Ini, kata beliau, merupakan perbuatan yang tidak boleh diterima.

Justeru itu, Setiausaha Agung menggesa masyarakat antarabangsa bersatu dan sepakat menyatakan bahawa tentera perlu menghormati kehendak rakyat Myanmar.