Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Nangka mengusulkan supaya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg kekal sebagai Presiden PBB pada mesyuarat perwakilan parti berkenaan, Februari depan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka, Dr Annuar Rapaee berkata usul tersebut antara perkara utama dibangkitkan 880 perwakilan mewakili 22 ranting dalam PBB cawangan Nangka pada mesyuarat perwakilan cawangan itu bagi tempoh 2017-2020, di sini pada Sabtu.

"PBB Nangka mengusulkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg kekal sebagai Presiden PBB dan jawatan itu tidak dipertandingkan sebab kita yakin serta menyokong kepimpinan beliau," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat tersebut.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, berkata pihaknya yakin dengan kepimpinan Abang Johari yang pasti mampu memperkukuhkan lagi kedudukan PBB sebagai tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Katanya usul lain ialah memohon kerajaan memperuntukkan lot rumah kepada anggota PBB cawangan Nangka bagi membolehkan mereka membina serta memiliki rumah sendiri dan menyelesaikan isu pemilikan lot rumah dalam kalangan Bumiputera setempat dengan segera.

Selain itu, beliau berkata PBB cawangan Nangka juga mengusulkan untuk meningkatkan jumlah keahlian yang sekarang mencecah lebih 3,000 orang kepada 8,800 orang pada tahun depan.

"Oleh itu, setiap perwakilan di 22 ranting dalam PBB Nangka diamanahkan untuk merekrut sekurang-kurangnya 10 anggota baharu sepanjang 2018.

"Kita mahu lebih banyak Bumiputera setempat menyertai PBB supaya lebih ramai berpeluang memberi sumbangan kepada parti dan masyarakat Bumiputera di sini," katanya.

-- BERNAMA