PEJABAT Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan berhubung keganasan yang memuncak di wilayah Palestin yang ditakluki, wilayah timur Baitulmaqdis dan Israel.

Sehubungan itu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia merayu perdamaian susulan pergolakan dan keganasan yang kini berlangsung beberapa hari.

Ketegangan di Baitulmaqdis mencetuskan keadaan kacau-bilau terburuk sejak 2017, apabila polis anti-rusuhan Israel bertempur dengan jemaah Palestin pada Jumaat terakhir Ramadan ini, 7 Mei lalu.

Israel dan Hamas saling berbalas serangan pada Selasa, mengakibatkan sekurang-kurangnya 30 penduduk Palestin terbunuh di Gaza.

Jurucakap ketua hak asasi PBB, Michelle Bachelet berkata, pihaknya mengutuk semua bentuk serangan dan hasutan terhadap keganasan serta perpecahan etnik dan provokasi.

"Kami sangat bimbang dengan meningkatnya keganasan di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Timur Baitulmaqdis, dan Israel, sejak beberapa hari lepas," kata jurucakap itu, Rupert Colville, kepada media di Geneva pada Selasa.

"Kami mengutuk semua jenis keganasan dan semua hasutan ke arah keganasan, perpecahan etnik dan provokasi."

Beliau turut menggesa pasukan keselamatan Israel supaya membenarkan hak untuk kebebasan bersuara, berpersatuan dan berkumpul.

"Tidak boleh menggunakan kekerasan terhadap mereka yang menuntut hak mereka dengan aman," katanya.

Lebih 200 roket dilancarkan oleh tentera Hamas dari semenanjung Gaza ke arah Israel sejak Isnin.

Israel bertindak balas dengan 130 serangan yang dilakukan menggunakan jet pejuang serta serangan helikopter ke atas sasaran tentera di semenanjung Gaza.

Sementara itu, utusan khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin, Dr Michael Lynk dan Dr Balakrishnan Rajagopal, mengecam tindak balas pasukan keselamatan Israel terhadap bantahan terbabit.