IPOH: Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang digantikan dengan pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) disifatkan sebagai langkah tepat untuk untuk pembangunan pelajar.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata perkara berkenaan telah dilaksanakan di negara-negara maju bagi mengembangkan lagi potensi dan kecenderungan pelajar yang tidak hanya bersandarkan kepada akademik semata-mata.

Katanya walaupun wujud kebimbangan sesetengah pihak terhadap keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) itu, beliau berharap agar semua pihak dapat memahaminya asas pelaksanan dasar berkenaan.

“Sudah semestinya walau apa juga sistem yang kita gunakan, ia tidak sempurna. Akan tetapi, saya ingin jelaskan bahawa PBS bukan perkara baru, sebaliknya, telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu.

“Yang penting adalah semua pihak khususnya guru dan ibu bapa dapat memberi kerjasama dan memahami akan tujuan pelaksanaan sistem itu.

“Kita tidak mahu anak-anak kita tertumpu hanya kepada latih tubi dan sebagainya (hanya berorientasikan peperiksaan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Penyelaras BN (MCA) Parlimen Ipoh Barat di Jalan Sultan Yussof, di sini pada Ahad.

Pada 2 Jun, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengumumkan KPM memutuskan untuk memansuhkan PT3 bermula tahun ini, dengan mengambil pendekatan memperkasakan PBS melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Beliau berkata penilaian akan dibuat menerusi PBS di mana ia akan melibatkan bukan sahaja pelajar sekolah mene­ngah iaitu Tingkatan 1, 2 dan 3 te­tapi juga bagi murid-murid sekolah rendah Tahun 4, 5 dan 6.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata melalui usaha berkenaan, ibu bapa boleh membentuk dan membangunkan minat mahupun kecenderungan anak-anak mereka yang bukan sahaja tertumpu kepada  akademik, malah kepada kemahiran atau kecenderungan lain.

Jelasnya dengan pemansuhan PT3, ia akan membuatkan suasana pembelajaran pelajar di dalam bilik darjah akan lebih menarik selain menepati falsafah perkembangan kemahiran mereka.

“Setiap daripada pelajar ada kemahiran dan kecenderungan masing-masing.  Ada yang pandai daripada segi akademik, menangkap gambar, menulis, bertani, mereka cipta, dan sebagainya. 

“Justeru melalui usaha ini kita mahu kembangkan lagi kemahiran mereka dalam bidang masing-masing.

"Jadi saya percaya dengan mansuhnya PT3, ia akan membolehkan pelajar belajar dalam keadaan seronok, sekali gus menepati falsafah iaitu untuk kita perkembangkan kemahiran mereka," jelas beliau.