KUALA LUMPUR: Jumlah transaksi kewangan dan pembayaran secara digital dijangka meningkat lebih 400 transaksi atau e-payment per kapita menjelang 2026.

Ia selepas pandemik COVID-19 telah memacu penembusan pembayaran digital di negara ini kepada lebih 30 peratus.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Maybank, Dr Siew Chan Cheong berkata, dua fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah penggunaan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kawasan luar bandar.

"Jika anda lihat pada 2020 hingga 2021, ia meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh tersebut.

"Peluang lain yang perlu kita lihat sebenarnya adalah PKS dan kawasan luar bandar.

"Banyak penembusan pembayaran digital masih tertumpu di bandar-bandar besar.

"Jadi, di kawasan luar bandar, untuk PKS mikro atau PKS, di situlah kita boleh mempercepatkan lagi," katanya. 

Perkara sama turut diakui Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong yang melihat perlunya PKS terus diperkasa dalam mengadaptasi kewangan digital.

"Ini adalah beberapa cabaran yang mereka hadapi, dan sudah tentu, adalah penting juga untuk mempertimbangkan jenis peranti dan penyelesaian yang boleh mereka perolehi.

"Ramai daripada mereka berminat untuk mengetahui penyelesaian terbaik yang ada di pasaran.

"Program ini pasti akan memberikan mereka beberapa idea, terima kasih kepada penyertaan ahli panel dan penceramah yang berpengetahuan, serta usaha dilakukan PayNet.

"Saya percaya ia adalah permulaan yang baik. Malah, ia adalah masa yang penting untuk kita bergerak lebih jauh," ujar beliau. 

PDPW berlangsung bermula 24 hingga 29 Mei 2023.

Mereka ditemui Astro AWANI pada hari pertama Minggu Pembayaran Digital PayNet (PDPW) anjuran penyedia infrastruktur pembayaran digital runcit Malaysia, Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet.

Memulakan program hari ini adalah perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Farhan Ahmad, serta sesi panel yang membincangkan berkenaan masa hadapan pembayaran digital di negara ini.

Selain pemain industri, pengawal selia dan usaha niaga sosial, turut berlangsung hari ini adalah perkongsian ahli akademik berkenaan kajian terhadap penembusan penggunaan pembayaran digital.

Pada sebelah petang, berlangsung pula sesi panel yang membincangkan inovasi teknologi dalam kalangan perniagaan termasuk inovasi menjadikan Malaysia sebagai hub pembayaran digital.