GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan unit baharu iaitu Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar atau 'Wildlife Crime Bureau' (WCB) di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata WCB akan dianggotai 50 pegawai dan anggota polis bagi menyiasat serta mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar.

Katanya, biro berkenaan akan ditempatkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dalam masa terdekat.

Katanya, PDRM akan turut sama membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menyiasat sindiket yang terbabit dalam penyeludupan dan perdagangan hidupan liar itu.

"WCB akan menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis bagi membantu Perhilitan menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar termasuk bagi menyita akaun-akaun bank milik sindiket di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya.

Beiau berkata demikian pada sidang media selepas  menghadiri mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir.

Sementara itu, Abdul Kadir mendedahkan, Malaysia dikenal pasti menjadi transit sindiket penyeludupan hidupan liar.

Beliau berkata antara hidupan liar yang kerap diseludup termasuk burung murai batu, tenggiling, kijang selain sisik tenggiling, sumbu badak serta gading gajah

Beliau berkata, kebanyakan aktiviti penyeludupan hidupan liar itu dipercayai dilakukan menerusi udara serta laut yang antaranya diseludup dari Indonesia, sebelum dieksport ke beberapa negara lain seperti Vietnam dan China.

"Kita bersama PDRM, Jabatan Kastam Malaysia dan beberapa agensi lain akan terus membenteras kegiatan tersebut menerusi OBK bagi memastikan negara ini tidak lagi menjadi transit hidupan liar," katanya.

Dalam pada itu, katanya sepanjang OBK yang dijalankan tahun ini, seramai 127 pemburu haram turut ditahan dan 69 kertas siasatan telah dibuka dengan nilai sitaan keseluruhan RM31.86 juta.