KUALA LUMPUR: Bermain bunga api selepas jam 12 tengah malam sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang lain adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336], demikian amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata akta berkenaan memperuntukkan denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

"Bunga api merupakan bahan letupan dikategorikan sebagai Dangerous Good Cargo (DGC) dan Hazard Class Division (HCD) 1.4g. Sekiranya dimainkan secara merbahaya boleh mendatangkan kecederaan.

"Bermain bunga api hendaklah membakarnya di kawasan lapang agar tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda pula boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjaran tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

"PDRM mengingatkan seluruh masyarakat terutamanya ibu bapa, hendaklah mengawasi anak-anak ketika bermain bunga api, bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan semasa mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan," katanya.