KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan khidmat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq yang mempunyai kepakaran eksklusif di hutan belantara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata khidmat mereka digunakan bagi tugas-tugas lain yang melibatkan operasi di hutan seperti mencari dan menyelamat serta memburu penjenayah di dalam hutan.

"Selaku pasukan mempunyai kemahiran di hutan, pasukan ini ditugas untuk membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan dan jenayah hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bersama-sama agensi penguatkuasaan lain di hutan-hutan simpan Semenanjung Malaysia seperti Op Bersepadu Khazanah," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) berkenaan keperluan keanggotaan PGA Senoi Praaq ketika ini dan adakah pihak Kerajaan berhasrat untuk melonggarkan syarat kelayakan bagi pengambilan anggota PGA ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata PDRM masih menggunakan Skim Perkhidmatan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel Orang Asli di dalam Arahan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2016 Bertarikh 7 April 2016 berkuatkuasa 1 Julai 2016 (Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia).

Menurutnya, kekosongan jawatan bagi Konstabel Polis Gred YP1 Orang Asli (Lelaki) Tahun 2021 adalah seramai 94 kekosongan di mana seramai 142 orang calon telah memohon jawatan tersebut dengan 47 orang calon telah sesuai temu duga lisan.