PDRM nafi beri latihan Unit Tindakan Khas kepada pelakon

Bernama
Januari 18, 2014 00:08 MYT
Farid Kamil yang mengaku memohon menyertai latihan UTK atas inisiatif sendiri.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pihaknya ada memberi latihan Unit Tindakan Khas (UTK) kepada selebriti Farid Kamil Zahari seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan, Jumaat.
Menurut Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Komunikasi Korporat) Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, ACP Datin Asmawati Ahmad, pihaknya tidak memberi sebarang bentuk latihan UTK atau seumpamanya kepada mana-mana orang awam.
"PDRM menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mengaitkan jabatan PDRM dengan apa juga maklumat yang tidak tepat bagi mengelakkan timbulnya sebarang kekeliruan," katanya melalui laman sosial PDRM Jumaat malam.
Akhbar tempatan berkenaan melaporkan bahawa pengarah dan pelakon filem, Farid Kamil menjadi selebriti tempatan pertama yang mengikuti sesi latihan UTK PDRM bagi memantapkan staminanya yang telah dijalani sejak minggu lalu.
Farid dipetik sebagai berkata dia memohon menyertai latihan itu selama tiga bulan atas inisiatif sendiri untuk mendisiplinkan diri dan meningkatkan kecergasan badan dalam membantu kerjayanya sebagai pengarah dan pelakon.
#Farid Kamil #PDRM #Unit Tindakan Khas