KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Australia telah berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Menurut kenyataan Setiausaha Polis Malaysia (SUPM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan mengenai kes terbabit.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesahkan Pihak Berkuasa Australia telah berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk dalam sebuah kontena dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac 2023 yang lepas.

"JSJN Bukit Aman sedang menjalankan siasatan dengan berpandukan maklumat yang diterima dari pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut," jelas kenyataan itu.

Dadah terbabit dianggarkan bernilai RM789.56 juta.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Australia berjaya menemui dadah dipercayai jenis heroin seberat 336 kilogram dalam satu kontena yang dibawa masuk ke Brisbane dari Malaysia.

Kesemua dadah terbabit ditemui ditanam dalam dua blok konkrit dalam kontena terbabit.

Siasatan mendapati, kontena terbabit didaftarkan membawa perkakas solat dialamatkan di sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane.

Susulan penemuan itu, seorang lelaki berjaya ditahan dipercayai terlibat dalam penyeludupan dadah kedua terbesar dalam sejarah negara itu.