Polis Diraja Malaysia, PDRM bertegas untuk tidak membenarkan Perhimpunan Bersih 4.0 diadakan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah memberitahu, sehingga kini, penganjur Bersih tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL untuk mengadakan perhimpunan itu di lokasi berkenaan.

"Perhimpunan itu menyalahi Akta 736 , Akta Perhimpunan Aman 2010. PDRM melarang Bersih mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka kerana pada 26 hingga 31 Ogos ada persiapan hari kemerdekaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibu negara selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Zainol menegaskan, Bersih 4.0 dianggap menyalahi undang-undang jika perhimpunan itu tetap berlangsung di lokasi yang tidak dibenarkan pihak berkuasa berkenaan.

"Saya jelaskan di sini perhimpunan ini tidak mengikut lunas undang-undang. Oleh kerana, pihak penganjur tidak mendapat kebenaran daripada tuan punya tempat mengikut Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012. Perhimpunan ini menyalahi undang-undang," katanya.


BACA: Bersih 4.0 - Empat perkara anda perlu tahu

Tegas beliau, penganjur Bersih sepatutnya memahami perkara berkenaan memandangkan lokasi yang dimohon itu sudah ditolak DBKL sejak awal lagi.

Pada masa sama, polis mengingatkan penganjur Bersih 4.0 agar tidak melibatkan kanak-kanak dalam perhimpunan itu kerana ia menyalahi Akta Perhimpunan Aman 2010.

"Polis mahu ingatkan supaya kanak-kanak tidak terlibat dalam perhimpunan kerana ia menyalahi undang-undang sedia ada iaitu di bawah Seksyen 20 (c) Akta Perhimpunan Aman 2010," jelas Zainol.

Bagaimanapun katanya, polis akan meningkatkan pemantauan dan kawalan jika perhimpunan Bersih 4.0 tetap diadakan penganjur.