ALOR SETAR: Seorang lelaki ditahan selepas bertindak kasar dengan memecahkan cermin kenderaan dipercayai dinaiki isteri bersama dua anaknya, dalam kejadian Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, sejurus kejadian, mangsa membuat laporan polis pada jam 10.37 pagi hari yang sama.

“Ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta bersama anak-anaknya di Lorong Panglima, Jalan Teluk Wanjah, sebelum menyedari dia diekori suaminya dengan menunggang motosikal Honda Wave.

"Suspek kemudian menahan kereta mangsa dan mengetuk cermin kereta bahagian hadapan sebelah penumpang beberapa kali, menyuruh mangsa membuka tingkap kereta.

"Suspek memberi alasan mahu memberi wang kepada anak mereka namun isterinya hanya membuka sedikit tingkap, menyebabkan suspek tiba-tiba merentap cermin kereta sehingga pecah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, serpihan kaca turut terkena kepada anak-anak mangsa menyebabkan mereka terkejut dan mengalami trauma.

Suspek berang apabila isterinya hanya membuka sedikit tingkap, membuatkan dia merentap cermin kereta sehingga pecah. - Foto PDRM

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati, kawasan itu tidak dilengkapi kamera rakaman litar tertutup (CCTV) namun mangsa sempat merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbitnya sendiri.

Kata Ahmad Shukri, suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada hari sama sejurus selepas kejadian.

Suspek direman empat hari bermula semalam hingga 17 Dis ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427/506 Kanun Keseksaan.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif.