IPOH: Seorang pegawai kanan dan lima anggota polis dari kontinjen Perak antara 14 orang yang ditahan dalam satu serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di sini pada awal pagi Jumaat.

Hasil saringan air kencing mendapati pegawai dan empat anggota itu positif dadah jenis Amphetamine dan Methaphetamine.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan dilakukan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar pukul 1.30 pagi hasil maklumat orang awam. 

Menurut Mior Faridalathrash, beliau sudah memberi amaran kepada semua pegawai dan anggota-anggotanya bahawa tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kegiatan dadah.

“Kita akan ambil tindakan sama seperti kita buat tangkapan ke atas orang awam dan sebagainya. Tiada kompromi, sama ada pegawai, anggota yang terlibat dengan ini (dadah) kita tidak ada kompromi dan kita akan tahan mereka,” kata beliau sambil memaklumkan kesemua yang ditahan itu akan direman.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada Jumaat.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut menahan lima wanita tempatan dan tiga wanita warga Indonesia.

Kesemua wanita itu turut positif dadah.

Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun dan permohonan reman dilakukan hari ini.

Bagaimanapun semasa serbuan, polis tidak menjumpai sebarang dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, polis Perak juga  berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas lebih 22 kilogram bernilai lebih RM866,000 sejak Rabu lalu.

Hasil risikan yang dijalankan sekitar Taiping, Ipoh dan Manjung itu berjaya menahan tiga lelaki berusia 26, 35 dan 40 tahun