KANGAR: Usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan sekurang-kurangnya seorang Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah, bertujuan mencegah pembabitan pelajar dalam penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis Supt Idris Mohamed berkata pegawai polis ini akan melakukan lawatan satu atau dua kali sebulan bagi mengumpul maklumat serta membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah dan salah laku pelajar di sekolah.

"Sekurang-kurangnya seorang pegawai polis ditempatkan sebagai PPS di setiap 116 sekolah menengah, sekolah rendah dan institusi tahfiz yang terdapat di negeri ini," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Idris berkata di samping turun padang melakukan ceramah, PPS juga berperanan mendapat maklumat daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan sekolah bebas daripada elemen jenayah.

"Sekiranya berlaku masalah kita tidak akan terus membuat laporan polis sebaliknya melakukan perbincangan untuk diambil tindakan oleh pihak sekolah atau PDRM jika perlu.

"Ia dilihat sebagai satu mekanisme terbaik dalam mencegah pembabitan pelajar dalam kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya dan menambah PDRM sedang melakukan perbincangan dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri untuk menubuhkan Kelab Pencegahan Jenayah di peringkat sekolah.

Beliau berkata selain di sekolah, terdapat juga anggota ditempatkan sebagai Pegawai Perhubungan di masjid dan rumah ibadat dalam usaha PDRM membendung kegiatan jenayah bersama masyarakat.

-- BERNAMA