Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan Peguam Negara Malaysia telah menasihatkan bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat isu berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut satu kenyataan oleh SPRM, agensi-agensi penyiasat terbabit kini boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing.

"Mengenai persoalan mengapa SPRM yang membuat kenyataan media pada 3 Ogos 2015 tanpa penglibatan Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia, ingin dijelaskan bahawa SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara Malaysia, bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, pasukan petugas khas dalaman bagi menyiasat kes SRC International Sdn Bhd dan sumbangan derma RM2.6 bilion masih diteruskan.

"Agensi masing-masing mempunyai pasukan petugas khas dalaman mereka sendiri dan akan
mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara Malaysia untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya," tambah SPRM.

Pada 4 Julai lalu, Tan Sri Abdul Gani Patail yang pada ketika itu masih menyandang jawatan Peguam Negara, mengesahkan bahawa satu Pasukan Petugas Khas telah mulakan siasatan ke atas isu 1MDB dan mereka (anggota pasukan petugas) telah mengumpul beberapa dokumen yang perlu dikaji semula, yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan dana 1MDB ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Gani berkata pasukan petugas itu telah menjalankan serbuan pada hari yang sama di premis tiga syarikat berkaitan iaitu SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Jawatan Peguam Negara kini disandang oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali.