Seorang pengguna Twitter mendedahkan pusat operasi sindiket penipuan pelaburan dalam talian membabitkan warga China yang ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia Rabu lalu berbau busuk.

Pelayar Twitter terbabit yang menggunakan nama @aimankamil_, mengakui pernah memasuki premis tersebut untuk melakukan pemasangan internet.

BACA: Cyberjaya ibarat 'Chinatown'

"Tower 2 ni ada 6 tingkat, jadi setiap tingkat ada 3 atau 4 bilik untuk mereka buat kerja haram ni lah. Mulanya, ingat mereka ni ada kelas sebab dalam tu ada beribu komputer dan setiap mereka ada satu meja satu komputer.

"Bilik server mereka yang akhir aku siapkan di tingkat 5, ambil masa sikit sebab kadang-kadang 'reading high' jadi kena banyak bersabar.

"Dalam bilik tu sangatlah padat dengan orang-orang China dengan bau hanyir tak mandi apa semua macam kau pakai baju basah peluh lepas tu kepamkan dalam loker," tulisnya.

@aimankamil_ juga mendedahkan pekerja sindiket memulakan tugas pada jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

"Orang China ni datang ‘macam’ orang bekerja, datang pukul 8 pagi tapi balik pukul 12 tengah malam setiap hari.

"Apa yang aku tahu, mereka datang guna pas lawatan dekat Malaysia kemudian ada ketua yang akan 'guide' mereka ni untuk selamat daripada kena tangkap.

"Jadi kerja yang diorang buat ni hanya untuk 'scam' orang dengan pelbagai cara termasuklah menyamar jadi polis, 'banker' dan sebagainya.

"Sebab ada satu kes seorang pakcik kerja penoreh getah kena 'scam' dengan ‘banker’ untuk selesaikan baki bayaran kad kredit," katanya.

Dia turut mendedahkah pekerja warga China terbabit mempunyai pasar raya sendiri berhampiran kawasan tersebut.

"Kadang-kadang menyampah juga dengan diorang ni sebab domain tu tempat kita orang melepak makan pastu mereka jalan tengah-tengah jalan macam tak ada apa tiba-tiba meludah," katanya.

Rabu lalu, Jabatan Imigresen Malaysia berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan atas talian melibatkan warganegara China dalam satu operasi di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.

Dalam serbuan itu, seramai 680 warga China termasuk 77 wanita masing-masing berusia antara 19 hingga 35 tahun ditahan.