Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyasarkan untuk memenangi 36 kerusi Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

Pengasasnya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jumlah itu tidak memungkinkan parti berkenaan untuk membentuk kerajaan namun Pejuang boleh menentukan pihak mana yang akan menjadi kerajaan.

Tegas beliau, Pejuang adalah sebuah parti bebas, tidak terikat dengan mana-mana pihak yang mana kadangkala parti kecil juga mampu memainkan peranan besar.

“Kalau kita memiliki 36 kerusi, kita akan berada di situasi boleh memilih untuk menyertai mana-mana gabungan, tetapi untuk sertai, mereka mesti patuhi syarat kita, barulah kita akan sertai.

“Kita sudah ada senarai lebih 18 Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak, bukan Ahli Parlimen Pejuang tetapi bersama dengan kita dan percaya dengan prinsip kita.

“Jadi kami akan bekerjasama dengan mereka dan berharap di Semenanjung juga, akan ada rakyat yang menyokong kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dana beberapa pemimpin Pejuang lain.


Dalam pada itu, Dr Mahathir menegaskan Pejuang kini bersedia untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun parti itu masih belum didaftarkan secara rasmi.

Katanya, sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum mendaftarkan parti itu pada PRU15, pucuk pimpinan parti itu mempunyai strategi dan cara lain untuk menghadapinya.

Astro AWANI pada 19 Ogos lalu melaporkan Pejuang didaftarkan secara rasmi dengan menggunakan huruf Jawi ‘Pa’ sebagai logo.

Bakal Presiden Pejuang, Mukhriz menjelaskan, logo berwarna ‘biru pantone’ itu turut terdapat tiga titik yang bermaksud Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara.

“Nama parti guna lambang dengan huruf 'Pa', bermaksud pejuang dengan tiga titik di atas, melambangkan tiga rukun – Rukun Islam, Rukun Iman dan Rukun Negara.

“Kita harap ini menjadi satu simbol perjuangan kita khususnya masyarakat Melayu dan amnya rakyat Malaysia,” katanya.