SEREMBAN: Pekan Linggi yang kali terakhir dilanda banjir buruk lima dekad lepas kembali dinaiki air sehingga kelihatan seolah-olah seperti "pulau kecil" berikutan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Tinjauan Bernama petang tadi di pekan yang terletak kira-kira 37 kilometer dari sini mendapati banyak kenderaan yang tenggelam dan penduduk turut terkandas selain anggota bomba menggunakan bot bagi membantu membawa keluar orang awam yang terperangkap keluar dari kawasan itu ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdekatan antaranya Balai Raya Kampung Linggi dan Balai Raya Kampung Permatang Pasir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza menyifatkan banjir pada kali ini adalah terburuk sejak 1971 dengan hampir sebahagian kawasan ditenggelami air terutama yang berhampiran anak sungai dan kawasan rendah.

"Memang sangat teruk kali ini, banjir ada sampai ke paras leher, tahun lepas empat kali banjir berlaku dan tahun ini dua kali tetapi ini yang paling teruk, Pekan Linggi memang orang tak dapat keluar masuk, tutup terus," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Meluahkan kebimbangannya, beliau berkata kerajaan negeri perlu mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian banjir di daerah itu berlaku lagi pada masa hadapan sehingga menjejaskan orang awam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata semua anggotanya turut bersiap siaga dan akan digerakkan dengan segera bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas.

Sementara itu di Rantau, sebanyak 22 rumah di Kampung Siliau Hilir terkesan dengan banjir ekoran hujan berterusan daripada petang semalam sehingga hari ini.

Menurut Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Siliau Baru, Abdul Ghani Zainudin, 55, berkata kebiasaannya banjir yang melanda kampung itu tidak seteruk ini dengan kali terakhir adalah sekitar 1999.

"Walaupun kawasan ini sering dinaiki air dan merupakan antara 'hotspot' (kawasan kerap) banjir namun tidak melibatkan jumlah rumah yang banyak seperti sekarang," katanya.

Beliau berkata penduduk kampung telah diarahkan berpindah ke PPS disediakan di Sekolah Kebangsaan Siliau ekoran bimbang keadaan banjir bertambah teruk menjelang malam ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan meningkat kepada 327 individu membabitkan 76 keluarga dengan lapan PPS dibuka di beberapa daerah termasuk di Port Dickson dan Seremban setakat pukul 5 petang tadi.

-- BERNAMA