Mungkin ramai di antara kita masih lagi menjalankan tugas ketika azan Maghrib hampir berkumandang dan malah ada yang tidak sempat menjamah makanan dek kerana tugas yang tidak mengizinkan.

Pekerja syif terutamanya, kebanyakan mereka perlu mengorbankan masa berbuka dengan mengutamakan tugas terlebih dahulu.

Menerusi rangkaian media sosial Astro AWANI, kami bertanyakan jika anda pernah berkerja pada waktu berbuka puasa.

Antara respon yang kami terima, mereka di dalam industri perhotelan, perubatan dan penerbangan ternyata perlu menjalankan tugas ketika azan Maghrib berkumandang.

Berikut adalah beberapa respon yang kami terima menerusi Facebook Astro AWANI:

Abdul Rahman Aziz Satar: Berbuka puasa dalam ambulan dalam perjalanan menghantar kes kecemasan ke hospital. Dah nama pun ambulan kan, takkan nak duduk bersila dan makan nasi berlauk atas pinggan kan? Jadi minum air mineral sahaja. Selamat berpuasa kepada semua staf kesihatan

Epan Faisal: Perkara biasa untuk yang bekerja di hospital besar terutamanya Jabatan Kecemasan & Trauma.

Dhab Eyta: Pernah berkerja d hotel dan di bahagian dapur. Memang kena sabar kerana kena sediakan buffet. Makanan pun yang sedap-sedap. [Lepas itu] kena masak ala carte. Dengan lapar dan penatnya, saya gigihkan jua.

Zam Basketz: Kerja bahagian kargo. Masa hendak berbukalah kapal terbang sampai. Makan kurma dan minum air. Lepas offload kargo baru makan.

Azza Amir: Saya pernah bekerja yang memerlukan menghadap orang ramai. Yang geram, dekat-dekat masa berbuka baru hendak datang.

Masita Kamaruddin: Pernah bekerja di restoran. Dugaannya sudah tentu menghadap makanan sedap-sedap sebab kerja sebagai pelayan. Berbuka pun dugaan juga sebab rata-rata rakan sekerja beragama Islam. Terpaksa berbuka ikut giliran. Minum sahaja dulu. Pukul 8 baru dapat menjamah nasi.

Danny Lulu: Tiada halangan bagi saya. Kita orang Islam. Alasan untuk tidak berpuasa kerana bekerja bukan alasan. Hanya yang tidak ada iman akan memberi macam-macam alasan. Saya pesakit diabetes dan ia bukan alasan saya tidak berpuasa.