JOHOR BAHRU: Seorang jurutera wanita terpaksa menanggung kerugian RM261,000 selepas diperdaya penipuan pelaburan kupon yang tidak wujud, awal bulan lalu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superitendan Fariz Ammar Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu kelmarin.

Katanya, mangsa ialah warga tempatan berusia 40 tahun itu memaklumkan, dia berkenalan dengan suspek iaitu seorang lelaki tempatan menerusi aplikasi Tinder pada awal Julai lalu.

"Pada awal bulan Julai mangsa berkenalan dengan suspek di aplikasi Tinder.

"Pada pertengahan bulan sama, mangsa diperdayakan untuk membeli kupon yang dijual oleh suspek setelah suspek berjanji, bahawa mangsa akan mendapat pulangan wang sebanyak lima peratus dan modal dalam tempoh 30 minit selepas pembayaran pembelian kupon dibuat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Jelas Fariz Ammar, mangsa kemudian menggunakan wang simpanannya dan telah melakukan 17 transaksi pemindahan secara dalam talian.

Katanya, pemindahan itu dibuat ke dalam akaun-akaun bank yang diberikan suspek.

"Mangsa turut diberikan pautan laman web untuk melihat keuntungan yang bakal diperoleh namun pautan tersebut tidak dapat diakses oleh mangsa.

"Lebih malang lagi suspek telah gagal dihubungi selepas itu. Akibat kejadian itu mangsa kerugian RM261,000," katanya.

Kes tersebut, jelas Fariz Ammar, disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berurusan dengan orang yang tidak dikenali, atau dikenali secara maya termasuk apabila melakukan transaksi dalam jumlah yang besar.