KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan prestasi yang memberangsangkan pada separuh pertama 2021 apabila pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 223.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, prestasi mengagumkan itu menandakan keyakinan pelabur asing terhadap iklim ekonomi dan ekosistem perniagaan yang stabil serta kondusif di negara ini.

Ia sekali gus menunjukkan hala tuju Malaysia kepada pemulihan ekonomi yang rancak dan mampan, tambah beliau.

"Prestasi luar biasa ini juga menunjukkan bahawa strategi Malaysia untuk meletakkan negara ini sebagai destinasi pilihan pelaburan yang menarik dan hab rantaian bekalan di ASEAN, terutama untuk operasi pembuatan, telah menunjukkan hasil yang positif.

"FDI didorong prestasi sektor pembuatan yang kukuh dalam tempoh tersebut, mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM58.2 bilion.

"Sementara, selebihnya RM8.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini adalah daripada sumber domestik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dari segi jumlah pelaburan yang diluluskan, Mohamed Azmin berkata Malaysia mencatat RM107.5 bilion pelaburan langsung asing dan domestik (DDI) dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, menyaksikan lonjakan besar sebanyak 69.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Meskipun berdepan persekitaran ekonomi global yang amat mencabar akibat pandemik COVID-19, pelaburan tersebut katanya, dicapai melalui 2,110 projek dan diharap dapat mewujudkan 4,994 peluang pekerjaan di negara ini.

Menurut Mohamed Azmin lagi, sebanyak 367 projek pembuatan bernilai RM66.9 bilion yang diluluskan pada separuh pertama tahun 2021, akan mewujudkan 32,220 peluang pekerjaan dalam pelbagai jawatan dan peranan, yang menuju ke arah pekerjaan bernilai tinggi dan berkemahiran.

“Tenaga kerja yang diperlukan untuk pelaburan yang diluluskan merangkumi 1,367 jawatan pengurusan dan 4,031 profesional teknikal termasuk jurutera mekanik, kimia serta bidang lain. Projek pembuatan yang diluluskan juga memerlukan 4,144 pekerja pertukangan mahir.

“Sementara itu, pelaburan domestik pula menerajui sektor perkhidmatan dan utama berjumlah RM45.0 bilion atau 41.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan,” katanya.

Sehubungan itu Mohamed Azmin berkata, bergerak ke hadapan, kementerian melalui Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), komited untuk membawa pelaburan berkualiti tinggi demi manfaat untuk rakyat dan negara.