GERIK: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu nyaris hilang penglihatan selepas rakannya bertindak mencurah cecair sabun mandi ketika tidur di sebuah sekolah berasrama di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima setelah bapa mangsa membuat laporan polis sekitar jam 12.22 tengah hari pada Rabu.

"Siasatan yang dijalankan mendapati kejadian itu berlaku pada 19 Mei lalu sekitar 1.15 pagi.

"Kedua-dua belah mata mangsa berusia 13 tahun dicurah cecair dipercayai sabun mandi dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

"Pemeriksaan yang dijalankan pakar mengesahkan mangsa mengalami kecederaan 'bilateral eye chemical injury grade 1' dan perlu menjalani rawatan susulan," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, remaja lelaki terbabit telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

"Beberapa saksi termasuk guru dan pelajar akan dipanggil bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut," katanya. -- Sinar Harian