TANJUNG MALIM: Golongan pelajar boleh menjadi kritis dan kritikal dengan menyuarakan pandangan serta pendapat kepada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob bagaimanapun berkata, ia mestilah berlandaskan kepada fakta dan bukti, bukannya mengikut emosi.

Menurutnya, ketika pertemuan dengan pemimpin pelajar, antara soalan yang ditanya ialah boleh pelajar bersifat kritis dan kritikal terhadap kerajaan.

“Saya kata boleh, luahkan perasaan dan pandangan anak-anak sekelian terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan, saya kata tidak salah kerana pelajar adalah ideal pemikirannya, perjuangan pejuang-pejuang pelajar begitu ideal dari segi perjuangannya.

“Cuma saya kata, yang pentingnya ialah perlu bertanggungjawab terhadap setiap tindakan kita dan setiap apa yang dikeluarkan oleh pelajar mesti mempunyai fakta dan bukti,” katanya.

Beliau berucap ketika melancarkan Keluarga Malaysia @ IPT di Dewan Canselor UPSI, Proton City, Tanjung Malim pada pagi Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan hari ini mengiktiraf peranan anak muda dan ini di buktikan apabila meluluskan Undi18 secara automatik yang berkuatkuasa 1 Januari 2022.

Katanya, kerajaan benarkan golongan muda untuk menetukan dan memilih siapa yang bakal menjadi pemimpin negara walaupun ramai yang tidak yakin dan skeptical terhadap keputusan kerajaan itu.

Tetapi, katanya, kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin.