LANGKAWI: Seorang pelajar mendakwa menjadi mangsa liwat seorang pelajar senior di dalam asrama sebuah pusat pengajian agama di Langkawi, dalam kejadian awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian berlaku jam 1 pagi, apabila mangsa yang berusia 16 tahun ketika itu berada dalam bilik asrama sebelum seorang pelajar senior meminta mangsa datang ke biliknya.

“Sebaik mangsa memasuki bilik pelajar senior berusia 19 tahun itu tangannya terlebih dahulu dikilas dan diminta supaya tidak melawan dan menjerit.

“Ketika itu mangsa diliwat selama hampir dua jam di dalam bilik senior terbabit,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Wan Hassan berkata, mangsa yang bimbang keselamatannya telah membuat laporan polis.

Jelasnya, susulan daripada laporan dibuat mangsa, polis berjaya menahan pelajar senior itu pada jam 8.15 malam Isnin di asrama pusat pengajian terbabit.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, ketika dihubungi memaklumkan pelajar senior terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan direkodkan pada Selasa.

“Mangsa telah dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan.

“Polis melakukan siasatan secara menyeluruh dan meliputi segenap aspek," ujarnya.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.