MADINAH: Kira-kira 60 pelajar Malaysia yang sedang menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah terlibat sebagai muzawwir dalam operasi Tabung Haji (TH) bagi membantu aktiviti ziarah jemaah haji di sini.

Muzawwir akan diperuntukkan bagi setiap bas jemaah haji untuk menerangkan sejarah Madinah dan tempat-tempat yang dilawati seperti Masjid Quba dan lokasi peperangan Uhud.

Timbalan Ketua Pelajar Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi Cawangan Madinah (Persada) Ukail Ahmad Sanif, 26, berkata penglibatan pelajar Universiti Islam Madinah bertujuan menyampaikan dakwah kepada jemaah.

"Kami membawakan cerita dari sudut yang berbeza, kami beritahu fakta sirah yang betul serta sahih dan dalam masa sama menggunakan fakta itu untuk menjadikan kita lebih dekat dengan Allah SWT," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Syariah (Fiqh Hanbali) dari Klang, Selangor itu berkata sebelum ini, pelajar melakukan inisiatif itu secara individu sebelum dijadikan acara tahunan Persada sejak beberapa tahun lepas bagi memberikan yang terbaik kepada jemaah haji Malaysia.

Bagi Ahmad Syirazi Iqbal, 22, pelajar semester tiga Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Usuluddin berkata ini merupakan pengalaman pertamanya sebagai muzawwir dan berasa seronok kerana dapat berinteraksi dengan rakyat Malaysia.

"Kebanyakan pelajar di sini pulang setahun atau dua tahun sekali ke Malaysia, jadi berinteraksi dengan jemaah haji ini dapat rasa lebih dekat dengan Malaysia," katanya yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

-- BERNAMA