DUNGUN: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai, di sini maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Nahas berlaku di Kilometer Satu, Jalan Tok Kah - Jerangau, kira-kira jam 6.30 petang Rabu.

Nurul Zahirah Aqrima Mohamad Yassin, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Mangsa dikatakan baru selesai menghantar rakannya di Kampung Alor Mak Bah selepas menghadiri latihan sukan di sekolah.

Ketika keluar dari persimpangan menghala ke rumahnya di Kampung Tok Kah, kenderaan jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang wanita berumur 41 tahun dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.