KOTA BHARU: Seorang guru matematik dan sains yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah agama di Kuala Krai ditahan polis bagi membantu siasatan berkait kes amang seksual melibatkan pelajar perempuan pada Khamis.

Guru berusia 36 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai sebaik sahaja polis menerima laporan berkaitan kes tersebut pada jam 10.30 malam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perbuatan tersebut bermula pada Mac 2020 lalu, semasa mangsa yang berusia 14 tahun berada di hadapan Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK) dan telah terserempak dengan gurunya.

"Guru berkenaan telah memaksa mangsa masuk ke dalam keretanya dan meraba tubuh badan serta mencium pelajar berkenaan beberapa kali.

"Pada bulan Mei tahun yang sama antara jam 9 pagi hingga 12 tengah malam guru berkenaan telah menghantar gambar-gambar lucah kepada pelajar berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, pada Januari 2021 mangsa telah dipanggil oleh guru terbabit untuk berjumpa di makmal sains sekolah berkenaan jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, guru berkenaan sekali telah bertindak mencium dan meraba mangsa.

Katanya, kejadian amang seksual terhadap pelajar itu telah berulang sebanyak tujuh kali di tempat yang sama pada hari berlainan.

Muhamad Zaki berkata, suspek direman selama lima hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

"Kes disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.