SEORANG pelajar perempuan hanya mengalami cedera ringan selepas diheret beberapa meter akibat kakinya tersepit di pintu sebuah bas.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pelajar tersebut bersama beg sekolah cuba turun daripada bas berkenaan di Huizhou, China pada 8 April lalu, menurut laporan Yahoo! News.

Selepas dia turun, pemandu bas tertutup pintu terlalu awal menyebabkan kaki dan tangan mangsa tersepit.

Pemandu berkenaan hanya menyedari perkara itu selepas terdengar mangsa menjerit.

Selepas pintu bas dibuka semula, mangsa dilihat terus bangun dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangan dan kaki.

Pemandu tersebut terus membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Biro Pengankutan Perbandaran Huizhou mengesahkan kejadian selain memaklumkan pemandu berkenaan digantung kerja susulan insiden tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Syarikat bas berkenaan turut meminta maaf kepada mangsa serta membiayai kos perubatannya, lapor portal berita Chutian Metropolis Daily.