SUNGAI PETANI: Seorang pelajar maut manakala dua rakannya parah setelah motosikal yang ditunggangi berasingan berlanggar sesama sendiri di Jalan Kampung Bukit Belah, Tikam Batu di sini pada Sabtu malam.

Muhammad Khal Iskandar Dimaz, 16, yang juga pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di Sungai Petani, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata kejadian dipercayai berlaku jam 11.15 malam melibatkan tiga motosikal.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati ketiga-tiga motosikal bergerak dari arah yang sama iaitu dari Tikam Batu menghala ke Bukit Kechil.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda RS yang ditunggangi rakan mangsa (si mati) berusia 15 tahun cuba membelok untuk berpatah balik.

“Namun mangsa (si mati) yang menunggang motosikal jenis  Honda Wave dan seorang lagi rakan berusia 15 tahun menunggang motosikal jenis Sym Sport yang mengekori dari belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal Honda Rs terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat manakala dua lagi rakan yang parah dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.