KULAI: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima bertindak terjun dari bangunan sebuah sekolah dalam satu kejadian di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow, pihaknya menerima panggilan dari seorang guru lelaki berhubung kejadian itu pada jam 1.26 petang.

Katanya, pegawai penyiasat kes bersama sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai ditugaskan ke lokasi kejadian.

"Mangsa merupakan pelajar Tingkatan Lima. Kejadian berlaku setelah mangsa selesai menduduki ujian peperiksaan.

"Mangsa telah pergi ke koridor bangunan sekolah tingkat empat itu dan bertindak terjun dari bangunan tersebut dengan ketinggian lebih kurang 40 meter.

"Pihak sekolah telah mengubungi ambulans. Mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Beng Yeow, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Katanya, mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan muka, selain patah kedua belah tangan dan kecederaan dalaman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)