SUNGAI PETANI: Seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan kes amang seksual dan mencederakan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, dalam kejadian Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek berusia 13 tahun itu ditahan di rumahnya di Gurun, pada Isnin.

Menurut Zaidy, siasatan awal mendapati, suspek yang dipercayai mengenali mangsa telah mengajaknya untuk naik kereta bersama pada jam 4.30 petang, Ahad.

“Suspek yang memandu kereta jenis Produa Kancil itu kemudian dipercayai telah memaksa mangsa membuka seluar dan melakukan seks oral terhadap suspek.

“Kerana mangsa enggan melakukan perbuatan itu, suspek telah menampar dan memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, suspek kemudian dipercayai membawa mangsa ke rumahnya dan sekali lagi memaksanya melakukan perbuatan sama.

"Mangsa sekali lagi berkeras sebelum diacu dengan sebilah pisau oleh suspek yang turut mencekik leher mangsa.

"Mangsa berjaya melarikan diri dari rumah suspek sebelum terjumpa orang awam dan meminta dihantar ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah suspek.

“Mangsa kemudiannya menceritakan perkara itu kepada bapanya dan bapanya telah membawa mangsa membuat laporan di balai polis Sungai Petani,” ujarnya.

Jelas Zaidy, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan mendapati kesan lebam di bahagian pipi kanan, calar di bahagian kiri dada mangsa, luka di bahagian kanan atas badan mangsa dan luka di pada lutut kanan kaki mangsa," katanya.

Beliau berkata, suspek telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.