KUALA LUMPUR: Pelajar tingkatan satu dan nenek berusia 54 tahun adalah antara 17 individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabit parti liar di sebuah kondominium mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, parti liar itu dianjurkan oleh seorang wanita berusia 23 tahun untuk menyambut hari lahirnya di unit mewah yang disewa dengan harga RM350 untuk satu malam.

Menurut beliau, ujian saringan juga mendapati lapan individu termasuk empat wanita positif methaphetamine dan ketamin.

"Siasatan mendapati pelajar tingkatan satu itu mengikut abangnya ke parti itu,selain itu  juga terdapat seorang pengunjung wanita yang mempunyai dua cucu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, dalam serbuan kira-kira pukul 11.55 malam Khamis, polis turut menjumpai dadah berupa pil ekstasi dan ketamin.







Beliau memberitahu, kesemua lapan lelaki dan sembilan perempuan dikenakan kompun RM2,000 setiap seorang mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
1988 (Akta 342) Pelan Pemulihan Negara.

Kes itu juga katanya disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a), sabit kesalahan penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak melebihi RM5,000 serta pengawasan polis tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Sahar memberitahu, pemilik kediaman dan juga penganjur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, polis memandang serius ke atas aktiviti parti liar yang turut melibatkan penyalahgunaan dadah dan seterusnya aktiviti tidak bermoral.

"Justeru pihak polis memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti tersebut," tegas beliau lagi.