KUALA LUMPUR : Pelakon Lufya berdepan situasi cemas apabila terpaksa bergelut dengan seorang lelaki selepas terdapat cubaan untuk menculik anak perempuannya, Laana Haura ketika berada di taman permainan, Ahad lalu.

Selebriti itu atau nama sebenarnya,  Lufya Sheikh Omar bagaimanapun bersyukur anaknya berjaya diselamatkan meskipun dia cedera dia bahagian muka akibat pergelutan itu.

Lufya mengalami kecederaan di muka akibat dipukul suspek dengan menggunakan batang kayu dan perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Instagram miliknya.

"Dua hari lalu saya diserang oleh seorang lelaki yang nak cuba menculik anak perempuan saya. Masa tu kami berada di playground Kota Damansara lebih kurang jam 4 ke  5 petang.

"Seorang lelaki yang bersifat dayus memukul saya menggunakan batang kayu ke kepala, badan serta menyebabkan kecederaan pada wajah dan badan saya.

"Alhamdulillah anak selamat dan saya pun selamat. Im a fighter! Terpanggil nak kongsi sesuatu yang penting untuk kita semua," katanya menerusi hantaran tersebut.

Menerusi perkongsian itu, Lufya turut memuat naik foto wajahnya yang mempunyai kesan luka seperti cakaran.

Lufya yang juga bekas peserta program realiti  Akademi Fantasia musim ke-6 itu dalam masa sama menyarankan golongan wanita agar bersiap sedia dengan ilmu pertahanan diri.

"Ikutkan orang yang menyerang itu lelaki yang agak besar dan kuat. Dengan izin Allah juga saya dapat melawan dan menyelamatkan anak saya. Syukur Alhamdulillah.. sebagai iktibar kita perlu selalu berjaga-jaga.

"Kita tak tahu orang zaman sekarang ni sanggup buat perkara yang keji. Manusia makin tiada kemanusiaan. Doakan kesembuhan dan keselamatan kami ya," katanya lagi.